POLIS sedang memburu seorang lelaki yang disyaki melarikan diri daripada pemeriksaan di Jalan PJS 7/19, Bandar Sunway dengan sebuah kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback, di Subang Jaya, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, berkata Pusat Kawalan Daerah (PKD) Subang Jaya menerima panggilan daripada anggota unit cawangan Kereta Peronda Polis (MPV) kenderaan itu keadaan mencurigakan pada jam 7.25 malam.
“Kenderaan tersebut dipandu oleh seorang lelaki, apabila pemeriksaan cuba dibuat, kenderaan tersebut telah mengundur dengan laju sehingga melanggar kenderaan MPV,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abd Khalid berkata, pihaknya telah mengejar suspek sehingga ke jalan susur keluar Lebuhraya Baru Pantai (NPE).
“Kita berjaya menyekat kenderaan itu, namun suspek sekali lagi mengundurkan kenderaan sehingga melanggar kenderaan MPV untuk kali kedua.
“Pelanggaran kedua menyebabkan kenderaan MPV rosak teruk di bahagian hadapan dan tidak dapat bergerak dan suspek berjaya melarikan diri bersama kenderaan.
“Sejurus kejadian itu, hebahan telah dibuat untuk menggerakkan semua elemen yang berada di lapangan untuk mengesan dan menangkap suspek,” katanya.
Abd Khalid berkata, anggota yang terlibat dalam kejadian itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kenderaan yang digunakan suspek pernah dilaporkan hilang pada 21 Jun lalu di Batu 9, Cheras.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Sehingga kini, kenderaan tersebut masih belum dijumpai.
“Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian atau kenderaan yang digunakan oleh suspek, boleh menghubungi talian 03-5621 0343,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam.
Selain, Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana mengingkari perintah oleh penjawat awam dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara melulu. – Malaysiapost

