SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengerusi anggota lembaga pengarah sebuah koperasi hartanah bergelar Datuk hari ini, kerana didakwa menerima rasuah dan barangan berharga dianggarkan berjumlah lebih RM16 juta.
Portal Suara Merdeka yang memetik sumber melaporkan, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang esok atas kesalahan berkenaan.
Menurut sumber itu, suspek didakwa menerima sogokan tersebut daripada seorang pengarah syarikat pemaju bergelar Tan Sri sebagai balasan melantik syarikat tersebut untuk projek usahasama yang dijalankan di tanah-tanah milik koperasi bagi tujuan pembangunan.
Katanya, suspek akan berhadapan lebih 160 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 [Akta 613] (AMLATFA 2001) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] (AMLATFAPUAA 2001).
Difahamkan, penahanan Datuk itu adalah berdasarkan siasatan dan operasi yang dijalankan oleh SPRM pada Ogos tahun lalu.
Suspek juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 15 Julai depan. – Malaysiapost

