“TEMANI Mama sekarang Ben,” ciapan Elza Irdalynna, adik kepada pelakon Allahyarham Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy yang disahkan meninggal dunia di Medan, Indonesia hari ini.
Elza yang juga seorang pelakon turut memuat naik gambar lama arwah abang bersama ibunya, aktres terkenal Allahyarham Azean Irdawaty.
Terdahulu beliau dalam satu ciapan memaklumkan berita sedih mengenai pemergian abangnya itu serta memuat naik kenyataan rasmi pihak keluarganya yang dibuat oleh adiknya Inessa Irdayanty berhubung perkara itu.
Elza turut mengucapkan terima kasih terhadap sokongan dan kebaikan yang diberikan pelbagai pihak kepada Ben dan keluarganya selama ini.
Sementara itu, Inessa dalam satu kenyataan memaklumkan ahli keluarga bersetuju memberi kebenaran kepada pihak penjara untuk mengebumikan jenazah Allahyarham Benjy di Medan.
“Kami sekeluarga telah mengizinkan pihak penjara Medan mengebumikan jasad di sana. Urusan pengebumian akan dijalankan esok.
“Kami amat berterima kasih dan terharu atas bantuan serta sokongan yang telah diberi oleh setiap pihak selama ini. Harap maklum bahawa Benjy turut menghargai anda semua,” katanya.
Menceritakan mengenai perkhabaran sedih itu, Inessa berkata kakaknya Elza menerima panggilan daripada pihak penjara Medan pagi tadi memberitahu bahawa Benjy tidak dapat bernafas dan sakit tenat akibat asma sekitar jam 11 pagi waktu Malaysia.
“Dia telah dibawa ke rumah sakit di sana tetapi tidak sempat diselamatkan.
“Benjy telah lama mengalami penyakit kronik asma dan penyakit paru-paru lain serta kerap keluar masuk hospital sejak beberapa tahun lalu,” katanya.
Pada 2017, Benjy dijatuhi hukuman penjara 11 tahun di Indonesia atas kesalahan cubaan menyeludup dadah jenis syabu.
Benjy ditahan bersama 4.5 gram dadah berkenaan yang disembunyikan di dalam lubang duburnya pada April lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Sumatera. – Malaysiapost

