MARUAH Bersatu tercalar susulan tindakan Umno menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, ahli Bersatu juga bimbang kedudukan jawatan dan pangkat mereka dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) susulan tindakan Umno itu.
“Ada dua sebab orang Bersatu meroyan. Pertama, Umno tarik sokongan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin adalah Presiden Bersatu. Itu jejas maruah mereka.
“Mereka bimbang jika Kerajaan PN tumbang, mereka hilang kedudukan dan jawatan.
“Itu berlaku di Johor, Melaka, Perak dan Kedah. Apabila Kerajaan PN jatuh ramai orang Bersatu hilang jawatan Exco, GLC negeri, ahli Majlis dan Ketua Kampong,” katanya di Facebook, hari ini.
Mohd Puad menambah, pastinya ada ahli Bersatu tidak berpuas hati tindakan Muhyiddin tidak melantik orang kuat parti itu sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Kedua, mereka meroyan kerana jawatan TPM diberi kepada Umno. Kenapa tidak bagi pada Azmin dan Hamzah?
“Kenapa Umno diberi keistimewaan? Mesti ada orang Bersatu tidak berpuasa hati. Itu bunuh parti sendiri,” katanya.
Mohd Puad berkata, penentangan ahli Bersatu terhadap Muhyiddin pasti sedang hebat kerana beliau tidak mengutamakan orang parti untuk jawatan penting dalam kerajaan.
“Muhyiddin akan berdepan pemberontakan dari dalam. Muhyiddin akan dituduh mahu lepas tengkuk sendiri. Orang sendiri terkapai kapai.
“PAS juga meroyan. Hempas pulas pertahan Kerajaan PN. Tetapi jawatan “Menteri Kanan” pun tidak merasa,” katanya.
Umno menoktah sokongannya terhadap kepimpinan Muhyiddin dalam mesyuarat MKT yang diadakan Rabu lalu.
Susulan itu, Umno menuntut Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat. – Malaysiapost

