POLIS sedang menyiasat satu video tular mendakwa berlaku penganiayaan ketika operasi menghapuskan haiwan liar yang disyaki dilakukan oleh anggota penguat kuasa kerajaan tempatan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata ia susulan daripada kejadian menangkap dan melupuskan anjing liar di kawasan perumahan Taman Tiram, Kulim oleh pihak Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK), baru-baru ini.
Beliau berkata, pihaknya menerima dua laporan polis menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap tindakan penguat kuasa terbabit yang dianggap kejam serta tidak berperikemanusiaan.
“Satu kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan membunuh atau mencacatkan seekor haiwan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
“Siasatan terperinci masih dijalankan bagi mengenal pasti undang- undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai dalam tindakan bagi melupus haiwan liar yang berkeliaran,” katanya dalam kenyataan.
Kamarul Zaman berkata, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan video berkenaan yang boleh menimbulkan kegusaran serta kebimbangan masyarakat berhubung tindakan pihak MPKK. – Malaysiapost

