HOSPITAL Selayang menafikan sedang menghadapi masalah bekalan oksigen.
Menerusi hantaran Facebook, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan berita palsu yang tular di media sosial.
“Hospital Selayang tidak menghadapi masalah bekalan oksigen. JKNS menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan postings yang tidak dapat dipastikan kesahihannya dan tidak menyebarkannya.
“Sila hubungi terus pihak Hospital jika mempunyai sebarang pertanyaan,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, tular di media sosial gambar 20 bekalan tangki oksigen disumbangkan orang ramai kepada Hospital Selayang.
Hantaran Facebook milik Aisya Natasya Musa telah menarik perhatian netizen sehingga mencetuskan spekulasi Hospital Selayang kekurangan bekalan oksigen.
Turut tular di group whatsapp ialah butiran berkaitan sumbangan bekalan tangki oksigen di Hospital Selayang yang mengandungi alamat email dan nombor telefon pegawai perubatan hospital berkenaan.
Bagaimanapun JKNS menafikan perkara itu dengan memaklumkan ia adalah berita palsu.
Justeru, orang ramai diminta berhati-hati sebelum melakukan sumbangan dan diminta menghubungi pihak hospital untuk mendapatkan pengesahan terlebih dahulu. – Malaysiapost

