PH terus desak Muhyiddin letak jawatan

0
1
SHAH ALAM 30 DISEMBER 2017. Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia di IDCC, Shah Alam. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

PAKATAN Harapan (PH) mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan serta-merta susulan kegagalan mengemudi kerajaan selepas kes jangkitan Covid-19 dan kematian meningkat walaupun darurat dan pelbagai perintah kawalan pergerakan (PKP) dilakukan.

Menerusi kenyataan, Majlis Presiden PH berkata, rakyat dan negara tidak harus mengalami musibah sedemikian semata-mata kerana kepemimpinan kerajaan yang gagal.

“Pakatan Harapan menuntut agar Perdana Menteri mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan-kegagalan ini dan meletakkan jawatan serta-merta.

“Rakyat dan negara tidak harus mengalami musibah sedemikian rupa semata-mata kerana kepemimpinan Kerajaan dan Perdana Menteri yang gagal, apatah lagi selepas Perdana Menteri kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen dan seterusnya kehilangan keabsahan bagi memegang jawatan tertinggi tersebut,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, keadaan negara diburukkan lagi dengan prosedur operasi standard (SOP) mengelirukan, penguatkuasaan yang lemah dan terpilih, serta kebenaran kepada kilang-kilang untuk terus beroperasi walaupun ia antara penyumbang terbesar kluster Covid-19.

“Rakyat terus merana. Begitu ramai yang telah mengangkat bendera putih kerana hilang pekerjaan atau pendapatan.

“Bantuan Kerajaan demi kelangsungan hidup rakyat tidak mencukupi. Terlalu ramai yang telah putus asa, malah begitu ramai yang telah membunuh diri.

“Jika dibenarkan berterusan tanpa sebarang perubahan, apa yang diungkap rencana Bloomberg hari ini bahawa Malaysia menjurus ke arah ‘negara gagal’ kian menjadi realiti. Ini tidak boleh dibenarkan berlaku,” katanya.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohammad Sabu dan Setiausaha Agung, DAP Lim Guan Eng. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here