Sabah kekalkan keputusan benarkan ‘dine-in’

0
1
Orang ramai mula makan di dalam restoran di sekitar Kuala Lumpur, selepas kerajaan membenarkan pelanggan untuk makan di dalam premis makanan bermula hari ini. Peraturan itu terhad kepada dua pelanggan di sebuah meja dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

KERAJAAN Negeri Sabah mengekalkan keputusan membenarkan ‘dine-in’ di dalam restoran, kedai makan, restoran dan hotel di negeri berkenaan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata kebenaran arahan untuk membenarkan aktiviti itu dikuatkuasakan kerajaan negeri pada 29 Jun lalu, berikutan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negera Fasa 1 masih berkuatkuasa.

“Ini Pendirian kita. Kerajaan negeri kekal dengan keputusan membenarkan Dine-in di dalam restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel di negeri Sabah.

“Arahan untuk membenarkan aktiviti yang diumumkan pada 29 Jun lalu, berikutan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negera – Fasa 1 masih berkuatkuasa di negeri ini,” katanya dalam kenyatan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, pengusaha kedai makan di negeri itu sekali lagi keliru selepas Prosedur Operasi Standard (SOP) terbaharu yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak menyebut sama ada ‘dine-in’ dilarang atau sebaliknya.

SOP itu dikeluarkan malam semalam sebelum peralihan negeri terbabit ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.

Kebanyakan restoran dan kedai makan sudah menerima pelanggan untuk makan di dalam premis selepas pihak berkuasa tempatan memberi kebenaran susulan pengumuman yang dibuat Ketua Menteri.

Mengikut SOP Fasa Kedua di Sabah, semua restoran, kedai makan, kafe, gerai, trak makanan, penjaja dan gerai bergerak dibenarkan beroperasi semula bermula jam 6 pagi hingga 9 malam sama ada dibeli secara bungkus, pandu lalu atau penghantaran.

Ia berbeza pula dengan SOP Fasa Kedua yang dikeluarkan untuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis dan Pulau Pinang, yang secara khusus melarang ‘dine-in’, namun di Sabah tidak ada penetapan seperti itu dilakukan. Ia hanya dibenarkan di bawah Fasa Ketiga PPN.

Difahamkan, kriteria ‘dine-in’ dikeluarkan daripada senarai untuk memenuhi permintaan Sabah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here