POLIS mengesahkan menerima laporan dibuat oleh bapa kanak-kanak lelaki yang kisahnya tular di Facebook (FB) selepas dikatakan cuba menggantung diri akibat tertekan dengan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata lelaki berusia 40 tahun itu telah membuat laporan di Balai Polis Bukit Baru pada 3.45 petang tadi.
Katanya, mengikut laporan dibuat, bapa kanak-kanak berusia 12 tahun itu mendakwa anaknya dimasukkan ke Hospital Melaka kerana tercedera ketika membetulkan tali buaian di hadapan rumah mereka di Bukit Katil.
“Pihak polis ada menerima laporan yang dibuat oleh bapa kanak-kanak tersebut menafikan berita tular yang mendakwa anaknya telah dimasukkan ke hospital selepas bertindak di luar jangkaan.
“Kanak-kanak tersebut dimaklumkan mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika ingin membetulkan tali buaian di hadapan rumahnya,” katanya seperti dilaporkan Kosmo Online.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengadu juga mengakui gambar tular anaknya di wad hospital itu telah dirakamkan sendiri olehnya sebelum disebarkan individu tidak bertanggungjawab.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, tular di FB hari ini dengan mendakwa seorang kanak-kanak lelaki cuba menggantung diri di sebatang pokok kerana tertekan dengan PdPR sebelum diselamatkan oleh penghantar makanan yang kebetulan melalui kawasan itu. – Malaysiapost

