Program LPPSA i-Prihatin cekik darah penjawat awam – CUEPACS

0
1

CUEPACS menzahirkan rasa kecewa warga penjawat awam terhadap Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) berikutan agensi itu didakwa hanya ‘memekakkan telinga’ dalam isu pemberian moratorium pinjaman perumahan penjawat awam.

Ia di sebalik pengumuman agensi itu memperkenalkan Program LPPSA i-Prihatin hari ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata program LPPSA i-Prihatin adalah kerjasama LPPSA dan syarikat insurans bermula hari ini yang menawarkan perlindungan tambahan kemalangan diri berkelompok dengan kadar bayaran premium RM100 setahun.

Sehubungan itu, katanya, CUEPACS tidak faham mengapa agensi kerajaan seperti LPPSA masih mahu mencari keuntungan ketika kebanyakan rakyat terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Walaupun program ini menawarkan perlindungan tambahan, CUEPACS merasakan program yang kononnya ‘prihatin’ tetapi tetap mengenakan bayaran langsung tidak mencerminkan keprihatinan LPPSA untuk bersolidariti membantu rakyat yang terkesan.

“Sedangkan semua pembiayaan perumahan diluluskan LPPSA telah dikenakan caj insurans yang agak tinggi sehingga mencecah puluhahn ribu ringgit,” katanya menerusi kenyataan.

Adnan seterusnya mempersoalkan mengapa perlu menjual perlindungan tambahan sekiranya ia boleh dimasukkan dalam perlindungan insurans sedia ada.

Sebelum ini katanya, ramai penjawat awam bising mengenai caj insurans pembiayaan perumahan LPPSA yang tinggi dan membebankan namun tiada penyelesaian yang baik sehingga kini.

“Sepatutnya LPPSA perlu menjadi badan yang mengurus pinjaman perumahan penjawat awam dengan lebih baik, murah dan tidak mengenakan caj insurans membebankan.

“Tindakan LPPSA memperkenalkan Program LPPSA i-Prihatin seperti mahu mengambil keuntungan secara berselindung daripada penjawat awam.

“Ia tidak dilihat mahu membantu penjawat awam tetapi membantu syarikat insurans dengan memperkenalkan program yang membolehkan syarikat insurans melakukan jualan.

“Untuk makluman semua, perlindungan kemalangan diri boleh diperoleh lebih murah di pasaran,” katanya lagi.

Justeru, beliau berkata CUEPACS menggesa LPPSA melihat kepada perkara pokok yang diperlukan oleh penjawat awam ketika ini iaitu pemberian moratorium pinjaman.

“CUEPACS menyarankan LPPSA menangguhkan sementara pembayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam sama seperti dilaksanakan bank-bank swasta di bawah selian Bank Negara.

“Diingatkan tidak semua pasangan penjawat awam bekerja dalam sektor kerajaan dan dianggarkan lebih 50 peratus bekerja dalam sektor swasta, berniaga secara kecil-kecilan selain menjadi suri rumah sepenuh masa.

“Ada dalam kalangan mereka yang kehilangan kerja, terjejas pendapatan dan tidak lagi boleh berniaga berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berterusan sejak tahun lalu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here