KAWASAN parkir Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) kini dijadikan sebagai Disaster Management Zone (DMZ).
Ia bagi menampung keperluan rawatan pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 yang semakin meningkat di kawasan Lembah Klang.
Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang telah membuat tinjauan ke HATTM hari ini bagi melihat persiapan hospital berkenaan dalam menyediakan DMZ terbabit.
Katanya, parkir tersebut sememangnya ruang yang telah diwartakan sebagai DMZ yang direka khas semasa awal pembinaan hospital itu bagi menghadapi kes-kes bencana kimia dan biologi.
“Ia juga disokong dengan faktor kemudahan sedia ada yang telah terbina di kawasan berkenaan dari aspek bekalan kuasa elektrik, bekalan oksigen, vacuum ports dan lain-lain bantuan sokongan perubatan.
“Ia mampu mengendalikan pesakit dengan kapasiti bersesuaian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Persiapan DMZ yang siap sepenuhnya semalam, turut dibantu oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Ia akan beroperasi sepenuhnya untuk menerima pesakit Covid-19 bagi kategori 4 dan 5 pada hari ini juga.
DMZ yang berkeupayaan menyediakan 50 katil tambahan itu diletakkan di bawah pemerintahan Pegawai Memerintah HATM, Brigedier Jeneral Datuk Dr Rosman Ab Rahman dan Lt Kol Dr Mohamad Azlan Arrifin sebagai Komander Operasi DPC tersebut.
Turut mengiringi beliau dalam tinjauan tersebut adalah Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh. – Malaysiapost

