Rahman Dahlan bidas ‘musuh dalam selimut’

0
1

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyelar ‘musuh dalam selimut’ parti itu yang menularkan ucapannya ‘sekerat-sekerat’ dalam mesyuarat itu di media sosial.

Beliau berkata, seorang menteri Umno yang bukan ahli MKT telah membantu menularkan video berkenaan yang mengelirukan, sekali gus menyebabkan ucapannya disalah erti oleh orang ramai.

“Tular dalam media sosial kononnya dalam mesyuarat MKT Umno dua malam lepas, saya telah menyatakan Umno akan rugi kalau Covid turun dan ekonomi meningkat.

“Lalu saya dituduh kononnya sanggup memperjudikan keselamatan rakyat demi politik Umno. Musuh Umno suka potong ayat saya, persembahkan dalam konteks salah dan disalahertikan untuk mengelirukan keadaan.

“Banyak hujah saya yang lain tidak dilaporkan. Biarlah saya ambil kesempatan ini untuk menjelaskannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman menjelaskan mesyuarat MKT diadakan untuk memutuskan sama ada Umno mahu meneruskan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Satu keputusan besar yang amat berat untuk diputuskan memandangkan banyak pandangan mengenai “timing” atau masa sesuai untuk berbuat demikian.

“Ini mesyuarat politik parti terbesar negara. Ini bukan mesyuarat jawatankuasa kampung atau koperasi. Sudah tentu MKT membincangkan banyak isu besar negara secara terbuka walaupun ada isu sensitif, nampak kasar dan berisiko untuk disalah ertikan, terutamanya bila masa yang diberi untuk berhujah agak pendek,” katanya.

Menurutnya, ahli MKT memang menyedari risiko jika mesyuarat sepenting itu diadakan secara maya, namun itulah platform untuk menyatakan pandangan secara jujur dan ikhlas.

“Kami dari awal lagi tahu perbincangan dalam mesyuarat itu mungkin akan ditonton oleh orang lain kerana mesyuarat diadakan secara maya atau online. Ternyata kebimbangan itu benar.

“Sebagai ahli MKT, saya wajib memberi pandangan secara jujur dan ikhlas walaupun ada risiko ia akan disalahertikan oleh musuh Umno.

“Bila saya bercakap tentang ‘timing’ untuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri ialah sekarang, saya bermaksud Bersatu akan menggunakan taktik untuk “mengenakan Umno” bila keadaan sudah berpihak kepada mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman menegaskan, pelbagai hujah apabila menyebut tentang timing untuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri.

Katanya, ada yang berhujah bahawa sekarang tidak sesuai kerana Covid-19 masih teruk dan itu pandangan ikhlas serta boleh diterima.

“Tetapi saya jelaskan bahawa usaha negara kita untuk menangani Covid tidak akan terhenti hanya bila seorang Perdana Menteri bertukar, apatah lagi jika Perdana Menteri baru datangnya dari jajaran kerajaan sedia ada.

“Saya juga berhujah bagaimana usaha menteri-menteri Umno dalam Kabinet untuk menangani Covid “disusahkan” atau “undermined” oleh sesetengah pihak dalam kabinet.

“Bila menteri Umno tutup pintu depan, orang lain buka pintu belakang. Berlatar belakangkan fakta inilah, saya berhujah tidak mustahil Bersatu tidak akan memberi kredit kepada Umno jika Covid reda,” katanya.

Abdul Rahman menambah, dalam mesyuarat MKT tersebut, beliau memberi contoh perbuatan Bersatu yang sengaja menyakiti hati dan melemahkan Umno.

“Pertama, bila Umno memberi sokongan kepada Bersatu untuk mengepalai kerajaan awal tahun lepas, Bersatu sengaja memberi Umno jawatan menteri yang tidak strategik.

“Umno juga dinafikan jawatan Timbalan Perdana Menteri atau Menteri Terkanan walaupun Umno rakan komponen parti terbesar dan signifikan dalam kerajaan. Kenapa? Kerana niat Bersatu satu sahaja, melemahkan Umno.

“Pada mereka lemah Umno, bermakna kuatlah Bersatu. Berjanji manis semasa diperlukan, dikencingkan bila sudah mencapai tujuan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here