Pendirian Umno perlu dihormati, dipertahankan – Umno Pulau Pinang

0
1

UMNO Pulau Pinang berpendapat keputusan dan pendirian Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 berhubung penarikan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) wajar dihormati dan dipertahankan kepimpinan dan ahli.

Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata sehubungan itu pihaknya juga mengambil pendirian sama dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang bermesyuarat pada 7 Julai lalu, berkaitan perkara berkenaan.

Katanya, keputusan itu merupakan kesepakatan yang selari dengan ketetapan dalam PAU 2020 pada Mac lalu di mana mandat diberi kepada Presiden dan MKT untuk menentukan tarikh sesuai bagi menarik sokongan daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Keputusan oleh MKT Umno bukan hanya bersifat politik semata-mata kerana ia melihat serta menilai kegagalan pentadbiran negara di bawah Muhyiddin selaku Perdana Menteri dalam menangani pelbagai isu, terutama berkaitan kebajikan serta pembelaan kepada rakyat.

“Justeru, jangan jadikan rakyat dan negara ini mangsa kepada kegagalan kerajaan PN menangani isu Covid-19 dalam tempoh lebih dari setahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, katanya, Umno Pulau Pinang turut menyeru agar seluruh kepimpinan dan ahli khususnya di negeri itu untuk kembali berdiri teguh bersama bagi memperkukuh serta menguatkan semula Umno.

“Umno perlu terus memainkan peranan dalam mendepani harapan dan aspirasi rakyat serta bekerjasama membantu rakyat menghadapi situasi sukar ketika ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here