PELUANG Malaysia mara ke pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 tahun (B-23) 2022 tampak cerah susulan undian selesai dijalankan, sebentar tadi.
Skuad negara diundi dalam Kumpulan J bersama dua lagi jiran serantau iaitu Thailand dan Laos, selain Mongolia melengkapkan empat pasukan dalam kumpulan itu.
Pusingan kelayakan bakal berlangsung Oktober depan menyaksikan Mongolia menjadi tuan rumah bagi pusingan kelayakan tersebut.
Juara bertahan Korea Selatan juga mendapat undian mudah apabila diundi dalam Kumpulan H bersama Singapura, Timor Leste dan Filipina.
Bagi naib juara edisi 2020, Arab Saudi bakal berdepan cabaran Bangladesh, Kuwait dan semifinalis edisi lalu, Uzbekistan dalam Kumpulan D.
Skuad Harimau Muda pernah gagal layak ke edisi 2020 selepas menamatkan saingan di tangga kedua di belakang China dan gagal berada dalam kalangan empat pasukan tempat kedua terbaik kumpulan bagi saingan kelayakan.
Malaysia pernah melakar pencapaian terbaik pada pusingan akhir edisi 2018 yang menyaksikan mereka mara sehingga suku akhir sebelum tewas 2-1 di tangan gergasi Asia, Korea Selatan. – Malaysiapost

