Bekas ratu cantik tumbuk polis mengaku tak bersalah

0
1

Bekas ratu cantik tumbuk polis mengaku tak bersalah

BEKAS ratu cantik didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas dua tuduhan menumbuk anggota polis dan menggunakan dadah ketika ditahan di sekatan jalan raya, semalam.

Kohinoor Damodaran Kaittiani, 29, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah, lapor Berita Harian.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakut-nakutkan penjawat awam dengan menumbuk Koperal Sharularifin Sarmadan di Jalan Universiti pada jam 3 pagi, 8 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Wanita itu turut didakwa menggunakan dadah Tetrahydrocannabinol di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 2 petang, pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Lau Chia Xin, menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam, Datin Raj Preet Kaur, memohon diberi ikat jamin rendah dengan alasan perniagaan restorannya terpaksa ditutup, ekoran penularan Covid-19.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin, bagi semua pertuduhan dan menetapkan 6 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding sama, rakannya, Quek Shen Tying, 33, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan dadah jenis sama, jam 2.15 petang, pada tarikh dan tempat sama.

Mahkamah kemudian membenarkan Shen Tying diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Semalam, media melaporkan bekas ratu cantik negara ditahan selepas menumbuk anggota polis dan merempuh sekatan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here