Wanita PN kesal Umno tarik balik sokongan

0
1
rina harun

WANITA Perikatan Nasional (PN) kesal dengan tindakan Presiden Umno mengumumkan parti itu menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, ketika rakyat dan negara sedang mengharungi masalah wabak Covid-19 dan ekonomi.

Menerusi kenyataan bersama itu, Wanita PN menyifatkan tindakan berkenaan jelas bermotivasikan kepentingan sempit kelompok tertentu serta membelakangkan kepentingan rakyat termasuk negara.

“Keputusan itu dilakukan ketika kerajaan sedang menumpukan sepenuh usaha dan tenaga di dalam memerangi pandemik Covid-19 dan sedang membawa negara keluar dari kemelut yang diakibatkannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan bersama itu daripada Ketua Wanita PN dan juga Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun; Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Senator Nuridah Mohd Saleh; Ketua Wiranita STAR, Evelyn Gobile; Ketua Wanita SAPP, Irene Chan Kam Lan dan Ketua Wanita Gerakan, Janice Wong Oi Foon.

Dalam pada itu, Wanita PN turut menyangkal dakwaan bahawa kerajaan PN gagal dalam beberapa isu yang dijadikan alasan kepada pendirian MKT tersebut.

Kata mereka, setakat ini, kerajaan telah melaksanakan pengurusan Covid-19 yang seimbang antara mengekang penularannya dan memelihara penghidupan rakyat.

“Harus diingat, negara telah berjaya mengelak pandemik berskala bencana seperti di beberapa negara lain manakala ekonomi dan punca pendapatan rakyat dapat dipertahan daripada kelumpuhan,” katanya.

Wanita PN turut yakin rakyat yang terhimpit dengan kehidupan mereka akan kecewa dengan keputusan MKT Umno.

“Rakyat mahukan semua kelompok terutamanya kelompok politik untuk mengenepikan kepentingan politik partisan dan menggembleng seluruh usaha, tenaga dan sumber untuk membantu mereka dalam keadaan yang getir ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here