POLIS menahan sembilan lelaki warga asing bagi membantu siasatan mengenai insiden pergaduhan sekumpulan pekerja sebuah asrama pekerja kilang di Sri Gading, Batu Pahat, semalam.
Insiden pergaduhan itu tular di media sosial termasuk menunjukkan sebahagian warga asing terpaksa keluar dari kawasan asrama tersebut bagi melarikan diri.
Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Muhamad Izzudin Runggai berkata kesemua yang ditahan terdiri tujuh warga Bangladesh dan dua warga Sri Lanka.
Katanya, kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan mengenai video itu semalam.
“Kesemua mereka direman empat hari bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau berkata seorang lelaki warga Sri Lanka cedera di kepala dan dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. – Malaysiapost

