Umno Terengganu sokong ketetapan MKT

0
1

UMNO Terengganu menyokong penuh ketetapan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dalam Mesyuarat malam tadi yang menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said berkata ini berikutan jelas dan nyata kerajaan gagal dalam menangani pandemik Covid-19 dengan berkesan.

Selain katanya, kerajaan didakwa menyalahgunakan darurat untuk kepentingan politik, mempertahankan sistem demokrasi berparlimen serta menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat serta beberapa isu lain lagi.

“Umno terus berpendirian teguh untuk memperjuangkan dan mempertahankan kebajikan utama rakyat yang terkesan dan terjejas ketika ini.

“Umno tidak boleh bersekongkol dengan pihak yang mengakibatkan rakyat menderita, sektor kesihatan yang semakin kritikal, ekonomi menjunam, peningkatan jumlah rakyat membunuh diri kerana miskin serta lapar dan sebagainya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik Timbalan Perdana Menteri semalam.

Semoga dapat menjalankan tugas dengan baik dan cemerlang serta didoakan dipermudahkan segala urusan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here