Sukan Sea Vietnam ditangguhkan ke tahun 2022

0
1

SUKAN Sea ke-31 2021 di Vietnam yang dijadualkan berlangsung November ini, ditangguhkan ke tahun depan.

Menurut kenyataan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Sukan Sea ke-31 yang sepatutnya berlangsung pada 21 November hingga 2 Disember di Hanoi.

Bagaimanapun, katanya, Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang bersidang hari ini telah membuat keputusan menangguh penganjuran temasya suka dwi-tahunan itu.

“SEAGF bersetuju untuk menangguhkan penganjuran Sukan SEA ke-31 2021 ke tahun 2022.

“Tarikh baru akan ditentukan oleh Majlis Persekutuan Sukan SEA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun, anggota SEAGF tetap memuji komitmen yang dilakukan oleh Jawatankuasa Penganjur Vietnam dengan menitikberat terhadap keadaan semasa wabak Covid-19 di rantau Asia Tenggara.

Semalam, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dilaporkan kurang bersetuju dengan cadangan untuk menangguhkan Sukan Sea ke-31 ke tahun hadapan.

Ini kerana katanya, dengan influks sukan-sukan utama seperti Olimpik Musim Sejuk Beijing dari 4-20 Februari, Sukan Komanwel Birmingham (28 Julai-8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou (10-25 September), adalah tidak mampu untuk menyediakan atlet untuk satu lagi edisi sukan dalam satu kalendar tahunan yang padat.

Sementara itu, portal Vietnam Net memaklumkan, Sukan Sea ke-31 berkemungkinan ditangguhkan ke Mac atau Jun tahun hadapan, disebabkan peningkatan kes Covid-19 di Vietnam dan negara-negara Asia Tenggara lain.

Laporan itu disiarkan tidak sampai sebulan selepas tuan rumah mengesahkan Sukan Sea ke-31 akan berlangsung seperti dijadualkan, ketika mesyuarat SEAGF yang diadakan secara maya pada 18 Mei. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here