Ahli Dewan Rakyat tentukan kedudukan PM, bukan parti politik – Peguam Negara

0
1

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

Perkara itu dinyatakan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun susulan kenyataan media yang dikeluarkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, awal pagi tadi.

Beliau menjelaskan, kenyataan itu dikeluarkan daripada suatu parti komponen yang membentuk kerajaan sedia ada yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 43(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri.

“Bukan melalui kenyataan oleh sesuatu parti politik ataupun mana-mana pemimpin parti politik.

“Oleh itu, dari segi undang-undang, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri sedia ada ternyata masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu dalam sidang media selepas mesyuarat MKT awal pagi tadi, Ahmad Zahid berkata Umno memutuskan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Muhyiddin serta-merta.

Ahmad Zahid berkata keputusan itu dibuat susulan mandat sebulat suara perwakilan PAU 2020 dan setelah kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal memenuhi panduan utama digariskan sebagai syarat menyokong kerajaan PN.

Justeru Umno mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan Perdana Menteri baharu dilantik untuk tempoh terhad.

Pagi tadi, Peguam Negara dilaporkan mengadakan pertemuan di kediaman Perdana Menteri di ibu negara, dipercayai susulan perkembangan politik semasa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here