KEMENTERI Kesihatan (KKM) menilai semula strategi sedia ada serta mengenalpasti langkah responsif dan pantas bagi meningkatkan lagi kesiapsiagaan hospital di Lembah Klang serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Bersepadu (PKRC), MAEPS 2.0.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ia sebagai persediaan untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19 khususnya kategori 4 dan 5 yang semakin meningkat
Langkah itu katanya, berdasarkan situasi terkini iaitu daripada keseluruhan 5,198 katil disediakan di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, sebanyak 154 katil dikhususkan untuk pesakit Covid-19 kategori 4 telahpun melepasi kapasiti penggunaan maksimum ditetapkan.
“Baki katil yang disediakan bagi pesakit Covid-19 kategori 1, 2 dan 3 di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 juga hampir digunakan sepenuhnya.
“Berdasarkan data terkini, PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 menerima secara purata 800 pesakit Covid-19 dalam sehari dengan purata 200 pesakit dalam kategori 4,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau berkata, antara langkah segera yang akan diambil adalah menambah jumlah katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital di bawah KKM dan hospital pengajar universiti.
“Sebagai contoh, terdapat penambahan 20 unit katil ICU di Hospital Ampang, manakala lapan katil ICU dan 45 unit katil di wad tambahan diletakkan di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia,” katanya.
Justeru beliau berkata, menerusi inisiatif itu, ia membolehkan pesakit Covid-19 Kategori 4 dan 5, dipindahkan segera dari PKRC MAEPS ke hospital berkenaan.
Selain itu, tambahnya, pihaknya akan melengkapkan wad di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dengan tambahan 60 unit katil dan peralatan tambahan dianggar bernilai RM1.1juta.
“Ia bagi meningkatkan lagi keupayaannya untuk menerima pesakitnya khususnya yang dijangkiti Covid-19.
“KIta turut tubuhkan hospital medan dengan kapasiti 50 katil tambahan menerusi kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di HTAR Klang.
“Serta memperluaskan kerjasama dengan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19 bagi Kategori 3 dan 4,” katanya. – Malaysiapost

