PAS mempertegaskan sokongan sepenuhnya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, termasuk sokongan tidak berbelah bahagi semua 18 Ahli Parlimennya.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu turut melahirkan kekesalan terhadap sebarang tindakan yang boleh menggugat kestabilan politik dalam negara.
Katanya, ini khususnya dalam keadaan kerajaan sedang berusaha menghadapi krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang sedang melanda negara.
“PAS seterusnya menyeru seluruh rakyat untuk bersatu hati mendukung langkah-langkah kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19, terutamanya bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang sedang dilaksanakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Umno malam tadi memutuskan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin berkuatkuasa serta-merta.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dibuat susulan mandat sebulat suara perwakilan PAU 2020 dan setelah kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal memenuhi panduan utama digariskan sebagai syarat menyokong kerajaan PN.
Justeru Umno mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan Perdana Menteri baharu dilantik untuk tempoh terhad. – Malaysiapost

