VETERAN Umno Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengingatkan Ahli Parlimen parti itu yang berjawatan dalam Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar mencontohi Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau berada dalam Kabinet bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu ketika dahulu.
Langkah itu menurut Shahrir akan memudahkan Timbalan Perdana Menteri yang baru diumumkan semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sementara dan kerajaan tidak runtuh.
“Sekarang sudah jelas. DS Ismail Sabri boleh jadi PM sementara, kerajaan tidak goyang.
“DS Ismail Sabri sudahpun dilantik sebagai TPM. Kalau TS Mahaidin turun pun, sudah ada timbalan yang boleh mengambil alih.
“Sebelum ini, ada menteri-menteri kanan. Mereka akan bergaduh sesama mereka kerana tidak tahu siapa yang sebenarnya yang dipercayai oleh PM untuk membantunya,” katanya di Facebook, hari ini.
Mengimbas kembali, Shahrir berkata, Muhyiddin pernah lantang mengkritik kepimpinan Abdullah dengan menggesa beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri juga tanpa segan silu masih kekal berada dalam Kabinet jemaah menteri ketika itu.
“Apabila MKT (Majlis Kerja Tertinggi) Umno menarik balik sokongan kepada TS Mahaidin Yasin sebagai PM, ianya membuatkan saya teringat kepada peristiwa yang sama selepas PRU12.
“TS Mahaidin telah terus duduk dalam Jemaah Menteri selepas menyatakan Tun Abdullah Badawi sepatutnya meletakkan jawatan sebagai PM dengan seberapa segera dari tempoh setahun yang dicadangkan. Tempoh ini juga diketahui oleh TS Mahaidin.
“Kerana, selepas bercakap di Singapura supaya Tun Abdullah Ahmad Badawi turun segera, TS Mahaidin terus kekal duduk dalam Jemaah Menteri pilihan Tun Abdullah. Tak de pun rasa serba salah atau malu,” katanya di Facebook.
Justeru, Shahrir berkata pendirian MKT Umno menarik sokongan terhadap Kerajaan PN serta merta malam tadi dan mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan Perdana Menteri secara terhormat tidak seharusnya membuat para menteri daripada Umno merasa serba salah atau malu kepada beliau.
“Jadi, menteri-menteri Umno tidak perlu rasa malu dengan TS Mahaidin. Rasa malu kepada parti? Itu kena tepuk dada, tanya selera. Kalau dalam dada ada prinsip dan falsafah, seleranya jelas,” katanya.
Bagaimanapun Shahrir menjelaskan, Ismail Sabri perlu mencontohi Perdana Menteri ketiga Tun Hussein Onn jika beliau dapat menjawat jawatan Perdana Menteri nanti.
“Kembali balik juga kepada parti untuk dapat restu jadi PM sebetulnya.
“Tapi, kalau DS Ismail jadi PM sebetulnya, jangan lupa dapatkan lah sokongan Dewan Rakyat sepertimana Allahyarham Tun Hussein Onn lakukan pada 27 Januari 1976 (12 hari selepas dilantik PM) dan juga seperti Tun Abdullah Ahmad pada 3 Disember 2003 (3 hari selepas perlantikan),” katanya. – Malaysiapost

