Secara teknikal Muhyiddin, Kerajaan PN telah tumbang – Mujahid

0
1

SUSULAN Umno menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyebabkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara teknikalnya telah tumbang.

Perkara ini ditegaskan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang berkata, tindakan Umno itu telah menyebabkan Pakatan Harapan (PH) menjadi blok terbesar Ahli Parlimen ketika ini.

“PH kekal blok terbesar 89 MP tetapi tidak cukup bentuk kerajaan, baki “strong and formidable majority” masih ada di tangan blok BN, Sabah, Sarawak manakala fraksi Tun M mungkin menanti peluang.

“Jatuhnya PN secara teknikal adalah jatuhnya kegagalan, keangkuhan dan lebih utama satu pengkhianatan. PH kekal konsisten mahukan mandat rakyat dikembalikan, Umno tarik diri dari PN dan jelas dari kenyataan Presidennya mahukan PRU setelah kelompok imuniti tercapai,” katanya di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Naib Presiden Amanah itu berkata, agak menghairankan apabila Umno memberi alasan bahawa kerajaan PN adalah sebuah kerajaan yang gagal membela rakyat dan mentadbir negara, menyebabkan mereka menarik sokongan terhadap PN.

“PH kekal blok terbesar setakat berita awal pagi tadi dan kerajaan Muhyiddin telah dihina oleh Umno dengan ungkapan #kerajaangagal yang dijadikan alasan untuk keluar dan menarik diri daripada mengekalkan sokongan kepada kerajaan Muhyiddin.

“Hairan juga, adakah Umno mengatakan pada diri sendiri kerana Timbalan Perdana Menteri Umno dan Menteri Kanan Umno baru sahaja dilantik kelmarin. Menteri Vaksin, Menteri Kesihatan, Menteri Pertahanan, Sukan, Perpaduan, Pengajian Tinggi, Menteri Luar dan ramai Timbalan Menteri adalah dari Umno. Apakah yang gagal adalah Umno dan sebab itu dia menarik diri dari kerajaannya sendiri,” katanya.

Umno telah mengadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi malam tadi dan bersetuju untuk menarik sokongan serta merta kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkannya pada sidang media secara maya lewat tengah malam tadi.

Bagaimanapun, Dr Mujahid mengakui tindakan Umno itu masih belum mampu mewujudkan kerajaan yang stabil untuk mentadbir negara.

“Talian hayat PN telah musnah apabila Umno buat keputusan tarik diri. Pilihan di hadapan masih samar hanya kerajaan interim sebagai remedi awal untuk menyambut kejatuhan PN.

“Pilihan Umno yang diumumkan awal pagi tadi pada 8 Julai 2021, merintis jalan kepada kejatuhan kerajaan PN tetapi alternatif sebuah kerajaan kuat dan stabil seperti titah Yang di Pertuan Agong masih belum kelihatan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here