PERLAWANAN akhir Euro 2020 akan menyaksikan pertembungan Itali dan England yang dijadual berlangsung 12 Julai ini.
England yang kemarau kejohanan utama antarabangsa sejak 1966, telah melakar sejarah tersendiri apabila melangkah ke perlawanan akhir Euro 2020 buat kali pertama selepas menewaskan Denmark 2-1 pada aksi separuh akhir di Stadium Wembley sebentar tadi.
Gol kemenangan menerusi penyerang, Harry Kane pada masa tambahan memastikan Three Lions akhirnya lega melangkah ke perlawanan akhir yang nyaris diheret Denmark melakukan perhitungan sepakan penalti dalam menentukan pemenang perlawanan itu.
Pada perlawanan itu, England tidak menunggu lama apabila terus melancarkan serangan sebaik wisel perlawanan ditiup dan sering mengancam benteng pertahanan Denmark menerusi gandingan Raheem Sterling dan Luke Shaw di bahagian kiri.
Pada 15 minit pertama permainan, skuad kendalian Gareth Southgate itu beberapa kali menguji pintu gol Denmark, namun diselamatkan penjaga gawang, Kasper Schmeichel.
England yang beraksi di laman sendiri bagaimanapun tersentak apabila ketinggalan 0-1 pada minit ke-30 selepas sepakan percuma bak peluru daripada Mikkel Damsgaard berjaya menerjah gawang penjaga gol, Jordan Pickford.
Bagaimanapun gol itu mencetuskan semangat skuad Three Lions untuk meningkatkan serangan dan ianya membuahkan hasil apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan sendiri Simon Kjaer pada minit ke-39.
Babak kedua, tempo permainan dilihat sedikit kendur apabila England dan Denmark masing-masing menampilkan aksi lebih berhati-hati.
Bagaimanapun, kedua-dua pasukan sesekali menguji kubu pertahanan masing-masing tetapi buntu untuk mendapatkan gol kedua yang dinanti-nantikan.
Kane nyaris berputih mata apabila sepakan penaltinya diselamatkan Schmiechel, namun tuah menyebelahinya apabila bola itu melantun kembali dan mudah ditolak masuk ke gawang Denmark pada minit ke-104.
Denmark bingkas bangkit mencari gol penyamaan, namun kesuntukan masa membuatkan mereka terpaksa akur membenarkan England megah melangkah ke perlawanan akhir buat kali pertama. – Malaysiapost

