PERMOHONAN Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) didaftarkan sebagai parti politik diluluskan hari ini, kata Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu berkata ia diluluskan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) hari ini sekali gus menjadi sebuah parti politik yang sah.
“Saya ingin mengumumkan bahawa parti Pejuang ini telah didaftarkan.
“Sebagai parti politik kita berterima kasihlah kepada kerajaan yang mendaftar Pejuang dan kami berpendapat bahawa cara kami bukanlah untuk menimbulkan masalah.
“Kita buat (memohon penubuhan parti) melalui undang-undang,” katanya dalam sidang media secara dalam talian hari ini.
Ahli Parlimen Langkawi itu mengalu-alukan sesiapa yang mahu menyertai parti itu agar membuat permohonan.
Menjawab soalan sama ada Pejuang sedia bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk sebuah kerajaan lebih kukuh, Dr Mahathir berkata fokus utama parti itu adalah membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19. – Malaysiapost

