MAJLIS Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim turut menzahirkan ucapan sama terhadap Datuk Seri Hishammuddin Hussein atas pelantikan sebagai Menteri Kanan Luar Negeri serta mengetuai Kluster Keselamatan.
“Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan kepada Ismail Sabri dan Hishammuddin.
“Diharapkan dengan pelantikan kedua-dua Yang Berhormat ini dapat mengukuhkan lagi institusi pentadbiran kerajaan dalam memberi fokus bagi menangani pandemik Covid-19 serta memulihkan semula negara dalam aspek ekonomi, sosial, kesihatan dan pendidikan,” katanya menerusi kenyataan.
Shahidan berkata PNBBC juga menyeru semua pihak memberi kerjasama dan tumpuan yang optimum bagi membantu mengurangkan beban rakyat.
Katanya, ia membolehkan rakyat meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh masa yang kritikal dan mencabar ini serta mengembleng tenaga bagi membantu
mempercepatkan proses vaksinasi. – Malaysiapost

