Keputusan MKT secara musyawarah, bukan keputusan sendiri – Zahid

0
1

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tidak benar propaganda dan persepsi sebelum ini, yang mendakwa dirinya menggunakan jawatan bagi menentukan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Ia berhubung keputusan Umno menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti kenyataan media beliau selepas mesyuarat MKT malam tadi.

Sebaliknya Ahmad Zahid berkata, MKT Umno telah memutuskan perkara yang perlu dilakukan demi kepentingan rakyat dan negara.

“Beginilah keindahan Umno parti keramat agama, bangsa dan negara. Sebuah parti demokratik berusia 75 tahun, segalanya diputuskan secara berperlembagaan, musyawarah dan bijaksana.

“Berpaksikan kemaslahatan rakyat dan negara.

“Maka tidak benarlah propaganda dan persepsi yang kerap direka konon Presiden Umno buat keputusan sendiri untuk parti,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, ia turut membuktikan Umno bukan sebuah parti yang boleh berkompromi apabila melibatkan kepentingan rakyat serta negara.

“Justeru, terbukti juga Umno sebuah parti yang tegas dan jitu mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Terbukti Umno mendengar suara hati akar umbi parti dan memenuhi mandat mereka pada Perhimpunan Agung Umno 2020.

“Jadi, ternyata Umno parti yang akan terus berpegang dan memperjuangkan prinsip demokrasi berparlimen,” katanya.

Terdahulu hari ini, bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa mendakwa kenyataan media Presiden Umno tidak menggambarkan keputusan mesyuarat MKT.

Annuar berkata, sebaik saja Ahmad Zahid selesai membuat kenyataan media, beliau dihubungi beberapa ahli MKT yang menyatakan kenyataan tersebut tidak seperti apa yang berlaku dalam mesyuarat.

Malah, beliau mendakwa tinjauan lanjut menyatakan apa yang dibaca kepada media adalah kenyataan yang telah disiapkan lebih awal, sebelum MKT bermesyuarat.

“Jika benar, ternyata sekali lagi MKT dipermainkan dan ini amat serius,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here