PH kini blok parti terbesar, layak dilantik Perdana Menteri – Aziz Bari

0
1

TAN Sri Muhyiddin Yassin digesa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secepat mungkin susulan kehilangan majoriti akibat keputusan Umno menarik sokongan serta-merta terhadapnya.

Pakar Perlembagaan, Abdul Aziz Bari berkata secara teknikalnya kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri telah berakhir kerana tidak mempunyai majoriti Ahli Parlimen menyokongnya lagi.

“Jadi langkah yang baik patut Muhyiddin buat ialah menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk meletak jawatan.

“Bila Umno tarik sokongan, jelas beliau memang tiada pilihan lain lagi, kena letak jawatan Perdana Menteri secepat mungkin dan secara terhormat,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Bagaimanapun Abdul Aziz yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkata, Yang di-Pertuan Agong boleh menitahkan Muhyiddin dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghadap baginda.

“Baginda akan menerima sembah maklum daripada kedua-duanya situasi yang berlaku sebelum menitahkan Muhyiddin meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

“Kemudian kita serahkan kepada kebijaksanaan baginda untuk melantik Perdana Menteri baharu, saya rasa blok parti politik yang paling besar layak dilantik menjadi Perdana Menteri oleh baginda,” katanya.

Mengulas mengenainya, Abdul Aziz memberi contoh situasi politik di Perak tahun lalu dalam melantik Menteri Besar yang baharu.

Katanya, wakil rakyat daripada blok parti politik paling besar diberi peluang oleh Sultan Perak untuk ditabalkan sebagai Menteri Besar baharu meskipun jumlahnya belum mendapat majoriti mudah mentadbir negeri.

“Situasinya sama sekarang macam Perak tahun lepas, ketika itu Sultan Perak menitahkan Umno yang tidak cukup beberapa kerusi untuk majoriti mudah perlu mendapatkan sokongan daripada parti lain sebelum dilantik wakil rakyat Umno sebagai Menteri Besar.

“Jadi sebagai blok paling besar, Pakatan Harapan (PH) dengan 89 wakil rakyat berbanding blok-blok yang lain, sewajarnya Yang di-Pertuan Agong memperkenankan Perdana Menteri baharu daripada PH.

“Memang 89 tidak cukup, tetapi seperti berlaku di Perak, wajar dicontohi dengan blok politik terbesar mengetuainya dan berusaha untuk mencari sokongan daripada blok lain bagi melantik Perdana Menteri dan kerajaan baharu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here