Umno Sabah tarik sokongan peringkat Persekutuan, namun kekal bersama GRS

0
1

UMNO Sabah akan terus kekal bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pentadbiran negeri yang turut dianggotai wakil rakyat mewakili Perikatan Nasional (PN).

Ia sebagai menghormati mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada September tahun lalu.

Bagaimanapun, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata Ahli Parlimen Umno di negeri itu sedia menarik sokongan daripada PN di peringkat Persekutuan sebagaimana diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MT) semalam.

“Maka GRS akan terus kekal dan Umno Sabah akan menggunakan autonomi bagi membuat keputusan di peringkat negeri.

“Setakat ini tiada sebarang tekanan daripada pucuk pimpinan untuk meminta Umno Sabah meninggalkan GRS. Kita akan terus bekerja untuk memulihkan ekonomi di negeri ini,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Kenyataan itu sekali gus menafikan khabar angin bahawa kerajaan GRS akan tumbang susulan keputusan Umno menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam sidang media selepas mesyuarat MKT awal pagi tadi, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno memutuskan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Muhyiddin serta-merta.

Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dibuat susulan mandat sebulat suara perwakilan PAU 2020 dan setelah kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal memenuhi panduan utama digariskan sebagai syarat menyokong kerajaan PN.

Justeru Umno mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan Perdana Menteri baharu dilantik untuk tempoh terhad. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here