PANDEMIK Covid-19 yang memberi kesan rakyat telah menyerlahkan sisi sebenar rakyat Malaysia yang saling membantu tanpa mengira bangsa mahupun agama.
Ketika ada yang terkesan, rakyat tanpa mengira latar belakang pantas menghulurkan bantuan termasuk menyediakan makanan percuma melalui food bank untuk golongan yang memerlukan.
Ketika inisiatif di YADIMart, pasar raya milik Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang menyediakan barang dapur percuma memberi manfaat kepada rakyat pelbagai kaum dan agama, begitu juga mereka yang bukan beragama Islam turut tampil berkongsi barang keperluan secara percuma di masjid.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerusi ciapan di Twitternya berkongsi mengenai seorang peniaga bernama Mr Ravi yang memberi sumbangan barangan keperluan segar di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi di Taman Melati, Kuala Lumpur.
Mr Ravi adalah pemilik premis menjual barangan segar seperti ikan dan sayur-sayuran di Taman Melati.
“Masjid Salahuddin Al-Ayyubi di Taman Melati terima sumbangan ikan, sayur-sayuran dan lain-lain daripada Mr. Ravi, pasar segar Taman Melati untuk dikongsikan dengan mereka yang terputus bekalan makanan.
“Alhamdulillah, rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama bersatu hati meringankan beban golongan memerlukan,” ciap JAWI.
Ciapan itu turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mengulang ciap serta menulis: “Terima kasih En Ravi. God bless you.” – Malaysiapost

