Polis siasat laporan terima suntikan vaksin kosong

0
1
Polis Di Raja Malaysia

POLIS membuka satu kertas inkuiri untuk menyiasat dakwaan seorang lelaki yang menerima suntikan vaksin dari picagari kosong di Hospital Banting, Selangor.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor yang mengesahkan menerima laporan tersebut pada jam 6.21 semalam berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu.

“Pihak polis telah membuka kertas inkuiri polis dan dalam proses menyiasat aduan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, seorang individu mendakwa terkejut kerana menerima suntikan vaksin jenis Pfizer ‘kosong’ ketika mendapatkan suntikan di Hospital Banting, Selangor, semalam.

Menurut laporan polis yang tular di laman media sosial, individu berkenaan mendakwa dia menerima suntikan itu jam 11.30 pagi dan turut membuat rakaman video sepanjang proses berkenaan.

Katanya, sebaik selesai, dia menonton kembali rakaman video berkenaan dan mendapati pihak berkenaan tidak menekan jarum untuk memasukkan vaksin ke dalam badan.

Video berdurasi 17 saat itu tular di media sosial menggunakan nama Simon Ng sejak semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here