MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) kesal terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana hanya berniat untuk memberi penerangan berkaitan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Covid-19 semasa sidang Parlimen tanpa sebarang perbahasan.
Majlis Presiden PH menerusi kenyataan berkata, Proklamasi serta Ordinan-Ordinan Darurat hanya akan dibentang dan tidak dibahas mahupun diputuskan.
“Ini langsung tidak menepati titah pandangan Seri Paduka Baginda.
“Sekiranya Kerajaan PN masih ingkar titah pandangan Seri Paduka Baginda, maka persidangan Parlimen kali ini hanyalah satu sandiwara politik dan bagai ‘melepaskan batuk di tangga’,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Majlis Presiden PH berkata, Parlimen adalah medan mendengar masalah, menyuarakan rintihan dan memulihkan harapan rakyat disamping mencari penyelesaian kepada krisis negara.
Tambah kenyataan itu, prinsip akauntabiliti dan ketulusan perlu ditegakkan dengan peranan semak dan imbang yang melibatkan semua Ahli Parlimen.
“Parlimen bukannya pentas untuk hanya mendengar kuliah Menteri tanpa diberi ruang membahas.
“Oleh itu, kerajaan perlu menjemput pihak Pembangkang untuk bersama-sama merangka serta mengatur perjalanan sidang khas Parlimen ini, yang mesti mengusahakan penyelesaian agar rakyat Malaysia dapat keluar dari krisis Covid-19 dan ekonomi ini.
“Janganlah sehingga pihak pembangkang terpaksa mendesak sidang Parlimen khas yang adil. Kita mesti bersama memerangi Covid-19 untuk menyelamatkan negara, dan bukannya berpolitik untuk melindungi jawatan dan kedudukan,” ujarnya.
Isnin lalu, kerajaan bersetuju untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas diadakan selama lima hari mula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos 2021 bagi Dewan Rakyat.
Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan memaklumkan Dewan Negara akan bersidang selama tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos 2021
Sementara itu, Majlis Presiden PH berpandangan bahawa sidang Parlimen yang akan bermula 26 Julai adalah terlalu pendek untuk membahaskan isu-isu berkaitan rakyat.
“Bagaimanapun, Majlis Presiden berpandangan bahawa sidang khas tersebut adalah terlalu pendek untuk benar-benar membahaskan perkara-perkara yang telah dititikberatkan Seri Paduka Baginda, iaitu Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara,” katanya. – Malaysiapost
Artikel barkaitan :

