
AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan tindakan Veteran DAP, Lim Kit Siang memohon maaf berhubung isu ‘Kerajan Allah’ tidak akan dapat membetulkan kerosakan yang dibuat.
Beliau berkata, walaupun tindakan Kit Siang meminta maaf selepas diasak adalah tindakan baik, namun tempiasnya akan terpalit kepada ahli DAP lain.
“Bila diasak, beliau minta maaf. Baguslah. Tapi kerosakan telah terjadi. Bukan terhadap orang yang nak diserang, sebaliknya pada diri sendiri.
“Buatlah apa sahaja. Pakai songkok, baju kurung, berbuka puasa, derma masjid, semua itu masih dianggap wayang. Bukan hanya dia tetapi juga rakan-rakannya,” katanya dalam hantaran Facebook.
Beliau berkata, tindakan Kit Siang itu naratifnya tidak ubah umpama menyapu cat yang susah hendak dikikis kerana tebal dan melekat
“Stigma macam cat, ada kalanya disimbah orang, tetapi paling susah kalau disapu sendiri. Tebal dan melekat. Susah nak kikis,” katanya.
Semalam, Kit Siang memohon maaf atas hantarannya berhubung ‘Kerajaan Allah’ dan mengakui salah faham terhadap kenyataan dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, kenyataan itu dibuatnya selepas membaca laporan sebuah portal berita mengenai kenyataan Abdul Hadi yang mengatakan Covid-19 adalah ujian Tuhan dan hanya kerajaan Allah SWT mampu menghapuskannya.
Menurutnya, selepas membaca laporan tersebut, beliau telah beranggapan bahawa ‘Allah’s government’ yang disebut oleh Abdul Hadi merujuk kepada Kerajaan Islam, termasuklah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sering mendakwa mereka adalah ‘Kerajaan Melayu-Islam’.
Terdahulu, tangkap layar berkenaan hantaran Kit Siang tular di media sosial sejak kelmarin, dan menimbulkan ketegangan di kalangan pemimpin beragama Islam.
Kit Siang menempelak kenyataan Abdul Hadi yang mengatakan hanya kerajaan Allah SWT boleh menghapuskan wabak Covid-19 pada bila-bila masa.
Menurut kenyataan itu, Abdul Hadi membuat pernyataan sensasi bahawa pandemik Covid-19 adalah ujian dari Tuhan dan hanya ‘kerajaan Allah’ yang dapat mengatasi peperangan melawan wabak berkenaan. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
