PEMUDA Umno meletakkan harapan tinggi untuk barisan menteri kabinet parti itu membawa suara rakyat kepada kerajaan untuk mengarahkan bank memansuhkan atau ‘waive’ faedah terakru moratorium.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia adalah usaha terakhir sayap parti itu untuk melobi Menteri Umno membawa harapan berkenaan kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
“Ternyata tawaran moratorium 2.0 hanya sekadar melepaskan batuk di tangga, kononnya Kerajaan PN prihatin mendengar suara hati dan memenuhi segala #TuntutanRakyat!
“Akhirnya, Bank Negara juga terpaksa buat kenyataan jujur bahawa moratorium akan tambah kos keseluruhan pinjaman,” katanya dalam hantaran Facebook.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, kerajaan tidak perlu ‘bicara’ soal keprihatinan sekiranya perkara ini yang diperlakukan kepada rakyat.
“Apatah lagi dalam keadaan rakyat yang amat susah, perit, tertekan dan terdesak ketika ini, kuasa dan kudrat yang ada seharusnya digunakan sepenuhnya untuk membantu rakyat.
“Berkali-kali Pemuda Umno memberikan cadangan dan solusi bahawa kerajaan boleh memanfaatkan tiga punca kuasa perundangan.
“Ia termasuk Ordinan Darurat 2021, Akta Bank Negara 2009 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, untuk mengarahkan Bank-Bank menawarkan Moratorium tanpa faedah terakru yang membebankan rakyat,” katanya.
Malah, Asyraf Wajdi berkata, 10 cadangan Pemuda Umno sebelum ini juga boleh dilaksanakan jika ada kemahuan kerana semua itu telah mengambil kira keupayaan Bank-Bank menyerap sebarang kemungkinan kerugian (expected losses).
“Ini kerana impak moratorium 1.0 terdahulu juga jelas amat minima bahkan Bank-Bank dengan bangga merekodkan keuntungan berbilion-bilion bagi tahun berakhir 2020,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Pemuda Umno merayu dan mendesak Menteri Kewangan kembali berbicang dengan bank-bank dan segera mempertimbangkan kembali tuntutan membantu rakyat menawarkan moratorium tanpa faedah terakru.
“Moga Menteri-Menteri Umno dapat membawa suara rakyat ini ke dalam Mesyuarat Kabinet hari ini,” katanya.
Semalam, media melaporkan, peminjam perlu memahami bahawa dengan mengambil bantuan bayaran balik pinjaman, kos pinjaman akan meningkat secara keseluruhan kerana faedah/keuntungan akan terus terakru (diambil kira) ke atas bayaran balik pinjaman yang tertangguh.
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, bank-bank dikehendaki memberikan penerangan kepada peminjam mengenai kesan pengambilan bantuan bayaran balik pinjaman terhadap jumlah bayaran ansuran dan tempoh pembiayaan.
“Apabila peminjam memohon untuk mendapatkan bayaran ansuran yang lebih rendah (dan bukan mengekalkan bayaran ansuran yang asal) selepas moratorium, hal ini boleh menyebabkan tempoh pinjaman mereka menjadi lebih panjang.
“Bank-bank dikehendaki memberikan penerangan kepada peminjam mengenai kesan pengambilan bantuan bayaran balik pinjaman terhadap jumlah bayaran ansuran dan tempoh pembiayaan,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

