AHLI Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa meminta Veteran DAP, Lim Kit Siang menjelaskan mengenai hantaran di laman Facebooknya yang didakwa cuba mempersendakan agama Islam.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, jika hantaran menerusi akaun Facebook yang tular sejak semalam adalah milik Kit Siang, maka pemimpin DAP tersebut perlu tampil membuat penjelasan lanjut.
“Minta YB Lim Kit Siang (LKS) jelaskan apakah benar posting dan akaun ini beliau yang punya.
“Jika benar, perbuatan ini adalah melampau dan menyentuh perkara yg boleh menimbulkan salah pengertian, sensitiviti umat Islam dan boleh membawa kepada ketegangan antara kaum dan Agama.
“Kefahaman YB LKS tentu tidak sama dengan penganut agama Islam itu sendiri. Tidak sewajarnya beliau cuba mempersendakan pihak lain dengan menggunakan kalimah Allah.
“Pohon pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga ambil tindakan sewajarnya dan segera,” katanya dalam hantaran Facebook petang ini.
Terdahulu, tangkap layar berkenaan hantaran Kit Siang tular di media sosial sejak semalam, dan menimbulkan ketegangan di kalangan pemimpin beragama Islam.
Kit Siang menempelak kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan hanya kerajaan Allah SWT boleh menghapuskan wabak Covid-19 pada bila-bila masa.
Menurut kenyataan itu, Abdul Hadi membuat pernyataan sensasi bahawa pandemik Covid-19 adalah ujian dari Tuhan dan hanya ‘kerajaan Allah’ yang dapat mengatasi peperangan melawan wabak berkenaan. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/07/06/pemuda-umno-buat-laporan-polis-dakwa-kit-siang-hina-islam/

