‘Kerajaan Allah’: Hamzah gesa PDRM buka kertas siasat

0
1
Datuk Seri Hamzah Zainudin

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) diarah membuka siasatan berhubung kenyataan kontroversi dimuat naik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang membabitkan isu berkaitan Allah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata kenyataan Kit Siang itu dilihat berunsur hasutan dan cuba memecahbelahkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Malah, katanya, siasatan perlu diperluas kepada mana-mana individu dikenal pasti melakukan tindakan sama hingga menggugat keharmonian di negara ini.

“Ini nampak kalau betul dia (Kit Siang) lakukan, apa masalah beliau dengan Allah? Walaupun dia tak kenal Allah, saya nak maklumkan, Allah adalah tuhan umat Islam.

“Saya mintalah kepada sesiapa pun, kalaulah Kit Siang lakukan sesuatu dan ditularkan ramai netizen, saya minta supaya PDRM siasat dan ambil tindakan.

“Kalau pun lain, bukan hanya Kit Siang tetapi mereka yang ada dalam negara, tolong bantu kita waktu ini untuk tidak pecah belahkan sesiapa,” katanya.

Terdahulu, tangkap layar berkenaan hantaran Kit Siang itu tular di media sosial sejak semalam, dan menimbulkan ketegangan di kalangan pemimpin beragama Islam.

Kit Siang menempelak kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi yang mengatakan hanya Kerajaan Allah SWT boleh menghapuskan wabak Covid-19 pada bila-bila masa.

Menurut kenyataan itu, Abdul Hadi membuat pernyataan sensasi bahawa pandemik Covid-19 adalah ujian dari Tuhan dan hanya ‘Kerajaan Allah’ yang dapat mengatasi peperangan melawan wabak berkenaan.

Selepas menerima tekanan, Kit Siang hari ini memohon maaf atas hantaran berkenaan dan mengakui salah faham terhadap kenyataan dibuat Abdul Hadi.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, kenyataan itu dibuatnya selepas membaca laporan sebuah portal berita mengenai kenyataan Abdul Hadi yang mengatakan Covid-19 adalah ujian Tuhan dan hanya kerajaan Allah SWT mampu menghapuskannya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here