Jangan guris hati mereka yang sedang memerlukan – Ustaz Ahmad Husam

0
2
Ahmad Husam Baderudin Presiden Penyatuan Ummah Malaysia

“JIKA kita tidak mampu membantu, sekurang-kurangnya jangan mengguris hati mereka,” kata pendakwah bebas
Ahmad Husam Baderudin mengulas tindakan Datuk Seri Vida (DSV) mempersendakan individu mengibarkan bendera putih untuk mendapatkan bantuan.

Ahmad Husam berkata beliau terpanggil menjawab kenyataan usahawan kosmetik itu yang disifatkan mengguris hati golongan memerlukan bantuan di saat-saat sukar ketika ini.

“Jika benar-benar tidak terdesak, mereka pun tak angkat bendera putih, mereka pun ada maruah. Tetapi mereka angkat bendera putih demi kelangsungan hidup ahli keluarga mereka,” tulisnya di Facebook hari ini.

Dalam perkongsian itu, Ahmad Husam berkongsi pengalamannya bertemu seorang bapa baharu diberhentikan kerja dan hanya mempunyai simpanan RM1,600 di bank yang digunakan bagi membayar rumah serta menyediakan makanan untuk keluarganya.

“Mana cukup lagi untuk buat modal niaga, mereka bukan malas Datuk Seri tetapi duit nak makan pun tak cukup. Tambah lagi nak niaga.

“Kalau ada gelas emas besar tali ikat feri Kuala Perlis dan cincin besar tapak tangan, bolehlah gadai buat modal… Ni apa pun tak ada,” katanya.

Baru-baru ini, menerusi video TikTok, DSV atau nama penuhnya Datuk Seri Hasmiza Othman telah mengungkap kata-kata seperti mempersendakan golongan mengibarkan bendera putih untuk mendapatkan bantuan.

“Saya singgah ni sebab bersih kalau tak bersih memang saya tengok dari jauh. Usaha, jangan malas mengharapkan bantuan bendera putih sahaja.

“Janganlah guna alasan PKP pendapatan terjejas nak beli pampers anak tak boleh, usaha,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here