Isu pernikahan tular, Timbalan Menteri mohon maaf

0
2
Datuk Che Abdullah Mat Nawi

TIMBALAN Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Che Abdullah Mat Nawi memohon maaf berhubung isu perkahwinannya yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai isu terbabit selepas menyerahkan perkara berkenaan kepada peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak terlibat.

Beliau berkata, isu tular itu melibatkan peribadi dan privasi keluarga yang tidak sepatutnya diketahui umum.

“Saya terlebih dahulu memohon maaf sekiranya isu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan saya dalam minggu ini menyinggung mana-mana pihak.

“Isu seperti ini sepatutnya tidak berlaku. Ia seolah-olah berniat mahu mengaibkan atau menjatuhkan maruah saya sekeluarga atau mungkin untuk mengganggu kerja-kerja saya,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Che Abdullah berkata, isu berkenaan sewajarnya ditangani secara peribadi dan bukan untuk dipertontonkan kepada khalayak ramai. serta berharap masyarakat menghormati privasinya dan keluarga.

“Sehubungan itu saya memohon kepada semua pihak supaya memberi keadilan dan ruang kepada saya untuk menyelesaikan isu ini dengan baik.

“Alhamdulillah isu ini tidak mengganggu saya untuk terus melaksanakan kerja-kerja yang diamanahkan sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Ahli Parlimen,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga, rakan dan media yang memberikan semangat serta doa untuk berdepan isu tersebut.

Terdahulu, tular di laman sosial gambar dan video berkenaan seorang timbalan menteri yang didakwa bernikah sekali lagi dengan seorang wanita yang dilangsungkan di dalam negara melibatkan juru nikah di Thailand.

Sementara itu, Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat Thailand memaklumkan akan menjalankan siasatan termasuk memanggil seorang imam Masjid Kedai Baru, Sungai Golok yang menjalankan majlis akad nikah secara dalam talian yang didakwa membabitkan seorang timbalan menteri di negara ini. – Malaysiapost

Foto Kredit: Harakah Daily

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here