DUA perkampungan Orang Asli di Rompin, Pahang diarah menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), berkuatkuasa 8 hingga 21 Julai ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah PKPD di Kampung Kerpal dan Kampung Pinang selama 14 hari berikutan enam kes positif Covid-19 direkodkan hasil daripada 120 ujian saringan dalam tempoh seminggu.
Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju melaksanakan PKPD di lima lokaliti di Sabah yang melibatkan Kampung Kasuapan, Kampung Lok Urai, Kampung Pulau Gaya dan Kampung Pondo di Kepulauan Pulau Gaya, Kota Kinabalu serta Kampung Sri Menanti di Tawau, Sabah.
Katanya, manakala hanya satu lokaliti di Sarawak diarah menjalani PKPD iaitu Kampung Mambong di Kuching Sarawak berkuatkuasa 8 Julai sehingga 21 Julai 2021.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan pengesanan awal kes.
“Selain, memastikan penduduk yang berisiko dijangkiti kekal berada di dalam kawasan PKPD bagi mengelakkan penularan jangkitan keluar dari lokaliti tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Malaysiapost

