4,601 syarikat sudah mendaftar sertai PIKAS – Azmin Ali

0
1

PUSAT Pemberian Vaksin (PPV) di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) akan terus ditambah bagi mempercepatkan lagi proses vaksinasi tenaga kerja khususnya sektor pembuatan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata PIKAS menyasarkan sekurang-kurangnya dua juta orang pekerja di dalam sektor pembuatan mendapat vaksin menjelang suku ketiga tahun ini.

“Saya dimaklumkan setakat 3 Julai 2021 sebanyak 4,601 syarikat telah mendaftar dengan jumlah pekerja seramai 676,544 orang.

“Pada 28 Jun lalu, saya telah melawat PPV PIKAS di Setia City Convention Centre (SCCC) Shah Alam, Selangor yang baru bermula pada hari tersebut.

“SCCC berupaya melaksanakan pemberian vaksin sebanyak 1500 dos sehari dan dianggarkan 25,000 pekerja akan mendapat suntikan di sini,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Menurutnya, dua lagi PPV telah bermula pada hari yang sama, iaitu di PPV Hotel Equatorial, Pulau Pinang dan Austin International Convention Center, Johor.

“Semalam, satu lagi Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) mula beroperasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

“PPVIN ini beroperasi selama tiga bulan dengan sasaran 40,000 dos diberikan kepada 20,000 penerima,” katanya.

Beliau berkata, pada 19 Julai nanti, satu lagu PPVIN akan mula beroperasi melalui PIKAS iaitu di Pusat Perniagaan D’Cattleya Senawang, Seremban.

“Saya difahamkan PPVIN ini dianggarkan memberi 1,000 hingga 1,500 dos vaksin sehari.

“Diharapkan usaha ini, dapat berjalan dengan lancar justeru mencapai sasaran sekurang-kurangnya 90 peratus daripada tenaga kerja sektor pembuatan menerima suntikan vaksin,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here