
POLIS memaklumkan tiada sebarang kompaun dikenakan kepada penduduk di 19 lokaliti di Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) berkuatkuasa 3 Julai lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis telah mengenal pasti individu yang berjaya meloloskan diri daripada kawasan PKPD dan usaha mengesan individu tersebut sedang dijalankan.
“Imbas kembali satu video tular yang berlaku di Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang menunjukkan beberapa individu yang membolos keluar daripada kawasan PKPD
”Kita telah kenal pasti dan usaha sedang dijalankan untuk mengesan dan mengambil tindakan undang undang yang sewajarnya kepada mereka ini.
“Sehingga kini, keadaan masih lagi terkawal,” katanya dalam sidang media selepas sesi lawatan kerja di lokaliti PKPD, hari ini.
Acryl Sani berkata, pihaknya masih meneliti permohonan individu yang berkhidmat bagi perkhidmatan perlu (essential services) untuk bekerja di luar kawasan PKPD.
Menurutnya, penelitian khusus perlu dibuat bagi menghadkan sama ada membenarkan mereka yang bertugas dalam perkhidmatan perlu boleh keluar masuk daripada kawasan PKPD.
“Terdapat beberapa permohonan yang mendakwa sebagai pekerja pekhidmatan perlu yang perlu bekerja di luar kawasan PKPD. Ini akan diteliti sama ada mereka dibenarkan untuk keluar atau tidak. Kerana kita akan menghadkan bilangan yang keluar masuk dalam lokaliti PKPD.
“Mereka yang bekerja dalam sektor penting seperti sektor kesihatan, perlu melakukan ujian swab sebelum dibenarkan untuk membuat keluar masuk dalam lokaliti PKPD,” katanya. – Malaysiapost
