KETUA Angkatan Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menafikan laporan sebuah akhbar yang beliau akan bertanding di Parlimen Bagan Serai dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Laporan yang disebarkan hari ini adalah tidak benar. Pihak parti di mana-mana peringkat tidak pernah membuat apa-apa keputusan berkenaan mana-mana kerusi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata khidmat kepada rakyat tetap menjadi keutamaan seluruh jentera Bersatu dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan dalam temu bual eksklusif bersama Wan Ahmad Fayhsal dilaporkan mendakwa beliau sudah mendapat restu daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bertanding di kerusi Parlimen Bagan Serai.
Menurutnya, Bersatu Bahagian Bagan Serai juga secara rasmi telah ‘melamar’ beliau sebagai calon untuk mewakili Perikatan Nasional (PN) di kerusi tersebut.
“Saya telah mendapat ‘restu’ tanpa sebarang halangan dari peringkat bahagian, negeri dan Presiden sendiri sebagai calon di Parlimen ini walau belum mendapat mandat secara rasmi,” katanya memetik laporan Utusan Online. – Malaysiapost

