PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya satu prosedur operasi standard (SOP) di dikeluarkan bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 melalui bawaan udara di tempat kerja.
Beliau berkata, terdapat pandangan peningkatan kluster tempat kerja susulan penyebaran melalui bawaan udara dan perkara itu disokong dengan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
“WHO pernah menyatakan bahawa bangunan tertutup dan mempunyai pengudaraan tidak baik lebih berisiko merebak Covid-19.
“Kajian penyelidik universiti tempatan juga mendapati virus maut itu mampu terampai lama dalam udara,” katanya dalam hantaran Facebook.
Ahmad Zahid berkata, tambahan pula ketika ini tindakan majikan yang melarang pekerja “Work From Home” (WFH) paling banyak diadukan kepada kerajaan.
“Daripada 4,267 aduan diterima setakat 1 Julai lalu, sebanyak 1,876 melibatkan perkara itu. Aduan ini kita jangan ambil remeh. Sehingga 14 Jun lalu telah ada 1,328 kluster tempat kerja.
“Kita harap majikan patuhilah penetapan WFH demi manfaat bersama. Garis panduan, pelbagai SOP serta mengehadkan jumlah pekerja hadir bekerja dititikberatkan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, ia bukan sahaja demi keselamatan keselamatan semua termasuk perniagaan yang diusahakan.
“Kita faham setiap organisasi perniagaan mahu memaksimumkan tenaga kerja. Tetapi jika premis anda disahkan berlaku penularan wabak implikasinya jauh lebih teruk.
“Golongan pekerja pula jangan ambil kesempatan daripada WFH. Kita perlu jujur dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab selaku pekerja.
“Lagipun WFH sedikit sebanyak memberi kita lebih masa bersama keluarga. Juga menjimatkan kos harian kerana tidak perlu ke tempat kerja,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, namun ada juga pihak menyatakan bekerja dari rumah lebih mencabar berbanding bertugas di tempat kerja.
“Berusahalah menguruskan cabaran itu supaya tanggungjawab kepada organisasi tidak terabai.
“Terdapat pandangan peningkatan kluster tempat kerja ekoran penyebaran virus melalui bawaan udara,” katanya.- Malaysiapost

