
OPERASI Ketuk (Op Ketuk) terpaksa dilancarkan terhadap penghuni 98 unit kediaman Mentari Court, Sunway berikutan enggan bekerjasama melakukan ujian saringan Covid-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata petugas kesihatan di kawasan berkenaan dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melawat dari rumah ke rumah bagi memastikan semua penghuni menjalani ujian saringan sebagai langkah membendung penularan jangkitan di kawasan perumahan itu.
“Kita akan pergi cari bagi memastikan mereka menjalani ujian saringan kerana sebelum ini apabila kita periksa ada antara penghuni yang berada dalam kediaman tidak beri kerjasama.
“Sehingga kini, penghuni 98 unit kediaman langsung tidak memberi sebarang maklum balas sehingga menyukarkan saringan dibuat ke atas penduduk serta hasrat memastikan penularan Covid-19 dapat diputuskan,” katanya dipetik Harian Metro, hari ini.

Menurut Amirudin, setakat ini, baki penghuni di 3,371 unit kediaman dari tujuh blok di kawasan berkenaan sudah memberikan kerjasama untuk proses saringan dan dijangka menerima vaksin bermula hari ini.
Katanya, penduduk dewasa yang disahkan negatif dalam ujian saringan Covid-19 akan menerima suntikan vaksin jenis Pfizer bermula hari ini.
PKPD di Mentari Court dilaksanakan bermula 1 Julai lalu selama 14 hari selepas kawasan berkenaan mencatatkan jumlah positif Covid-19 yang membimbangkan.
Kawasan itu juga dijadikan perintis bagi lokasi pertama PKPD di Selangor yang menjadi pusat pemberian vaksin (PPV) terhadap semua penduduk yang didapati negatif dalam ujian saringan. – Malaysiapost
Foto Kredit: KKM
