SEHINGGA hari ini 16,946,192 individu sudah berdaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Ia membabitkan 5.4 juta pendaftaran bagi fasa kedua iaitu warga emas dan golongan berisiko dan 11.5 juta lagi bagi fasa ketiga iaitu golongan berusia 18 tahun ke atas.
Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata, bilangan yang sudah divaksinasi dengan sekurang-kurangnya satu dos vaksin, secara keseluruhan untuk fasa dua adalah 4,197,943 orang.
“Warga emas adalah 2,301,657 atau 79.2 peratus daripada jumlah pendaftaran terkini, iaitu 66 peratus daripada jumlah populasi warga emas di Malaysia.
“Orang Kurang Upaya (OKU) membabitkan 127,775 dan mereka yang mempunyai komorbiditi (menghidap dua atau lebih penyakit serentak) seramai 3,853,554,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan mengenai perkembangan PICK yang turut disertai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, hari ini.
Menurutnya, lebihan kira-kira 20.8 peratus daripada jumlah warga emas yang berdaftar kebanyakannya sudah diberikan janji temu dan dijangka menerima suntikan dos pertama mereka pada bulan ini.
Dalam perkembangan sama Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Perlis sudah memulakan pelaksanaan fasa ketiga pada minggu lalu.
“Ini bermakna Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya, Melaka, Pulau Pinang, Sarawak, Selangor dan Perlis sudah memulakan fasa ketiga PICK.
“Negeri ini sudah merekodkan sekurang-kurangnya 80 peratus vaksinasi ke atas golongan warga emas mereka yang berdaftar,” katanya.
Sementara itu, Dr Adham memaklumkan 584 kes Covid-19 dikesan akibat varian baharu, membabitkan jangkitan lebih meluas dan pantas serta turut dikatakan mampu merebak menerusi bawaan udara.
Menurutnya, 40 kes dikenal pasti daripada varian B1617.2, manakala B1.352 (136 kes); B117 (10 kes); B1525 (dua kes); B161.7.14 (empat kes) dan varian membimbangkan atau varian kepentingan lain (392 kes).
“Kegiatan pencegahan dan kawalan berterusan dijalankan bagi mana-mana kes dikesan melalui kadar insiden tinggi dalam satu kawasan, yang mana kes menular dengan cepat, membabitkan kematian atau kes tinggi dalam kawasan serta kes tertinggi harian, kita akan buat jujukan genom.
“Dari situ kita akan tahu sama ada individu itu mendapat jangkitan daripada varian baharu,” katanya ketika ditanya berhubung ancaman varian Delta. – Malaysiapost

