Sidang khas Parlimen ibarat melepas batuk di tangga

0
1
Datuk Razlan Rafii

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Razlan Muhamad Rafii menyifatkan sidang Khas Parlimen yang akan diadakan selama lima hari bermula 26 Julai ini ibarat melepaskan batuk di tangga.

beliau mendakwa tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju membuka Sidang Parlimen yang tidak seperti amalan biasa Dewan Rakyat bersidang sebagai penghinaan kepada Ahli-Ahli Parlimen.

“Membuka Parlimen seperti melepaskan batuk di tangga adalah tindakan yang menghina dan menjadikan wakil rakyat seperti budak sekolah yang datang mendengar taklimat.

“Dewan yang mulia akan dibuka, dibuka untuk memberi ‘penerangan’ kepada wakil rakyat dan bukan untuk dibahas.

“Walaupun Istana sudah bertitah agar Pelan Pemulihan Negara dibahas dalam Parlimen agar semua wakil rakyat terlibat dalam mencari formula terbaik, namun tidak diendahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Razlan berkata, Perdana Menteri terus dengan mengamalkan konsep “Speaking Alone” yang bercakap sendiri tanpa ada sebarang pertanyaan malah tidak menerima cadangan.

“Hari ini negara dikejutkan sekali lagi apabila satu edaran kenyataan media untuk memanggil sidang Parlimen.

“Parlimen sentiasa dijadikan dewan yang mulia untuk pembahas yang mewakili rakyat kawasan, namun apa yang dilakukan oleh Tan Sri Muhyddin serupa dengan cara beliau mengendalikan sidang media, monolog.

“Semua Ahli Parlimen akan disuruh masuk ke Dewan dan akan membuka telinga untuk mendengar tanpa bahas,” katanya.

Terdahulu menerusi kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, kerajaan bersetuju untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas diadakan selama lima hari mula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos 2021 bagi Dewan Rakyat.

Mesyuarat itu bertujuan untuk memberi penerangan kepada Ahli-Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

“Berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen (shail be laid before both Houses of Parliament),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here