SEORANG lagi Ahli Parlimen daripada Umno menyatakan rasa tidak bersetuju jika sidang Parlimen diadakan secara hibrid.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata sidang Parlimen perlu diadakan secara bersemuka kerana kesemua Ahli Dewan Rakyat telah menerima vaksin Covid-19.
“Sekali lagi perlu yakin dengan vaksinasi yang telah dibuat. Pegawai tak perlu hadir ramai. Pemandu boleh hantar dan keluar.
“Terpenting tanggungjawab beri cadangan-cadangan, semak dan imbang boleh dilaksana,” kata Setiausaha Agung Umno itu ringkas menerusi hantaran di Facebooknya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar yang menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan pendekatan Parlimen yang mungkin diadakan secara hibrid.
Noh semalam berkata sidang Parlimen adalah sesi perbahasan dalam sesuatu isu dan ada ketikanya Ahli Parlimen lain boleh bangun dan meminta penjelasan atas apa yang dibahaskan.
“Adakah bersidang secara hibrid ini memboleh Ahli Parlimen mencelah untuk dapatkan penjelasan?
“Keduanya setiap Ahli Parlimen mempunyai imuniti ketika berbahas di Dewan Rakyat. Bermaksud apa yang disebut ketika perbahasan tidak boleh didakwa di luar Parlimen.
“Adakah imuniti ini akan terpakai kepada Ahli Parlimen apabila mereka berbahas di luar Dewan Rakyat secara online,” katanya. – Malaysiapost

