PEMIMPIN veteran DAP, Lim Kit Siang berpendapat Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan gagal jika kerajaan tidak mempunyai perancangan dalam mengelak kes Covid-19 terus meningkat hingga mungkin mengakibatkan kadar kematian melepasi angka 10,000 kes menjelang Ogos ini.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, berdasarkan kadar semasa jangkitan dan kematian dalam empat hari pertama bulan ini, negara berkemungkinan akan melepasi paras sejuta kes dan 10,000 kematian akibat Covid-19 menjelang Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos.
Menurutnya, angka jangkitan juga mungkin melebihi 1.2 juta dan 11,000 kematian menjelang Hari Malaysia ke-58 pada 16 September 2021.
“Apa gunanya PPN sekiranya kita tiada rancangan untuk mengelak negara daripada menyertai ‘kelab jutawan’ Covid-19 dengan 10,000 ke 11,000 kematian menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia?
“Parti Komunis China menyambut ulang tahun ke-100 parti tersebut dengan perhimpunan seramai 70,000 orang di Tiananmen, Beijing pada Khamis lalu, dengan semua yang berkumpul tidak memakai pelitup muka menunjukkan pemulihan negara tersebut daripada Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Amerika Syarikat (AS) juga menyambut Hari Kemerdekaannya semalam di Washington dengan acara terbesar membabitkan lebih 1,000 hadirin bagi merai sumbangan petugas barisan hadapan semasa Covid-19
“Kita pula telah mengalahkan kedudukan China yang mempunyai 44 kali ganda jumlah penduduk, baik dari segi jumlah kes mahupun kematian akibat Covid-19, dengan negara kita mencatatkan 778,652 kes dan 5,497 kematian berbanding 91,847 kes di China dan 4,636 kematian.
“Hasilnya, kita berada di tempat ke-35 di seluruh dunia dari segi jumlah kes terkumpul sedangkan China berada di tempat ke-101,” katanya.
Kit Siang berkata, selain Rusia dan negara-negara Amerika Selatan, Malaysia juga mencatatkan kadar kes harian per sejuta penduduk dan kematian harian per sejuta penduduk lebih tinggi daripada negara-negara lain.
Menurutnya, Malaysia ketinggalan daripada negara lain yang sebelum ini dengan prestasi terburuk dalam mengendalikan Covid-19, termasuk AS, India, Perancis, Turki, United Kingdom, Itali, Sepanyol, dan Jerman.
“Setakat ini, ada empat negara dengan 800,000 kes dan dua negara dengan 900,000 yang perlu dipintas oleh Malaysia sebelum kita pula menyertai ‘kelab negara jutawan’ Covid-19 dengan lebih daripada sejuta kes Covid-19 dan berada di tempat ke-29 di seluruh dunia dengan jumlah kes tertinggi.
“Kita kini berada di tempat ke-35 dengan 778,652 kes manakala Jepun pula berada di tempat ke-34 dengan 805,376 kes,” katanya.
Menurutnya, sudah tiba masanya pihak berkuasa memaklumkan apakah langkah positif yang sedang diambil untuk mengawal peningkatan kes dan kematian akibat Covid-19 dalam negara. – Malaysiapost

