Tak mustahil Wilayah Persekutuan terawal capai imuniti kelompok

0
1

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata tidak mustahil Wilayah Persekutuan menjadi antara negeri terawal mencapai imuniti kelompok seperti disasarkan walaupun sukar.

Bagi mencapai matlamat itu, katanya, pihaknya bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan (KKM) akan berusaha memastikan sasaran itu dapat dicapai.

“Kita menyasarkan Wilayah Persekutuan menjadi antara negeri terawal mencapai imuniti kelompok.

“Ia mungkin sukar tetapi tidak mustahil dan kita akan bertungkus-lumus bekerja rapat bersama MOSTI & MOH untuk menjayakannya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.

Setakat kelmarin, sebanyak 1,031,969 individu di Kuala Lumpur telah menerima dos pertama vaksin Covid-19, manakala 221,020 telah melengkapkan dua dos vaksin atau 12.5 peratus daripada penduduk.

Seramai 35,534 individu di Labuan telah menerima dos pertama, manakala 16,721 telah melengkapkan kedua-dua dos bersamaan 16.8 peratus.

Di Putrajaya seramai 41,788 penduduk telah menerima dos pertama dan 28,351 sudah melengkapkan kedua-dua dos vaksin iaitu 25.8 peratus.

Imuniti kelompok akan dapat dicapai apabila 80 peratus penduduk sesebuah kawasan telah menerima dua dos vaksin.

Sasaran awal imuniti kelompok bagi labuan ialah pada 31 Julai 2021, manakala Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing pada 31 Ogos ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here